Dua Rakyat Malaysia Terbunuh Dalam Gempa Bumi Di Lombok

Kedua-dua mangsa iaitu Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah disahkan maut

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri mengesahkan seramai dua warganegara Malaysia telah terkorban dalam bencana gempa bumi berskala 5.8 Richter yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia semalam.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, kedua-dua mangsa iaitu Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah disahkan maut dan tujuh rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di hospital tempatan manakala 13 orang lagi dilaporkan selamat.

Jelasnya, kesemua mangsa dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara semasa bencana tersebut melanda.

“Pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta kini berada di Lombok bagi memantau keadaan semasa di samping menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada para mangsa yang terlibat.

“Warganegara Malaysia yang terjejas akibat bencana ini disarankan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 813 8081 3036,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, warganegara Malaysia yang berada di Indonesia atau ingin merancang perjalanan ke negara ini juga adalah dinasihatkan untuk mendaftar dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia terlebih dahulu.

Gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.

Kategori
DuniaUtama