Lapor Arab News, ketika mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, jemaah diminta supaya mempertimbangkan aspek privasi dan spiritual tanah suci tersebut dan tidak terlibat dengan aktiviti politik.

Amaran itu dikeluarkan berikutan ancaman Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengenai gangguan dan kemungkinan demonstrasi politik oleh jemaahnya pada tahun ini selain kritikan terhadap organisasi pengurusan haji Arab Saudi.

Ali Khamenei berkata, antara kesilapan besar Arab Saudi apabila mendakwa jangan mempolitikkan haji.

“Mewujudkan perpaduan adalah hal politik. Menyokong dan mempertahankan mereka yang tertindas dalam dunia Islam seperti rakyat Palestin dan Yemen juga hal politik berdasarkan ajaran dan kewajipan Islam.

“Haji merupakan perbuatan politik dan ia adalah kewajipan agama,” ujarnya.

Tambah Ali Khamenei, langkah keselamatan dilaksanakan Riyadh setiap kali musim haji terlalu ketat.

“Kerajaan Arab Saudi bertanggungjawab besar dalam soal keselamatan dan kawalan haji namun tidak sepatutnya membesarkan keadaan keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, penulis bua­ngan Iran dan wartawan, Amir Taheri mengecam kenya­taan Ali Khamenei kerana menggesa demonstrasi diadakan semasa musim haji.

“Arab Saudi mungkin menyesal menambah kuota sebanyak 10,000 jemaah kepada Iran tahun ini menjadi sekitar 90,000 orang yang mungkin mengadakan demonstrasi anti-Amerika dan boleh membawa pergaduhan dalam kalangan jemaah,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Media Arab Saudi, Turki Al-Shabanah meminta jemaah haji supaya mengawal diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti politik seperti melaungkan slogan yang mungkin mengganggu ibadah jemaah.

Jelasnya, Arab Saudi tidak menerima perbuatan sedemikian dan mungkin mengambil langkah perlu untuk mengelak salah laku itu.

Terdahulu, Raja Salman meminta badan pengurusan haji supaya memastikan keselamatan, kestabilan dan kedamaian kepada para jemaah.