‘Tuan rumah, jangan macam-macam’

Apabila terdapat perubahan di saat akhir, persediaan atlet akan terganggu, malah tiket kapal terbang serta sesi latihan juga akan berubah.

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Tinggal 58 hari sahaja lagi Sukan SEA 2019 bermula, namun tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina dilihat seakan tidak bersedia untuk membuka tirai temaysa dwi tahunan tersebut.

Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah berkata, terdapat 10 jenis sukan yang mengalami perubahan jadual dan venue pada minggu lepas, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan berupaya menjejaskan prestasi kontinjen negara dalam Sukan SEA.

Tambahnya, beliau berharap tiada lagi pertukaran selepas ini selain percaya sebarang masalah yang dihadapi tuan rumah dapat ditangani dalam masa terdekat.

Sukan yang terlibat dalam perubahan tersebut adalah tinju, besbol, bola baling tampar, kanu serta kayak, duathlon, lawan pedang, floorball, bola sepak wanita, bola lisut dan triathlon.

“Apabila terdapat perubahan di saat akhir, persediaan atlet akan terganggu, malah tiket kapal terbang serta sesi latihan juga akan berubah.

“Jadi semua ini akan memberi kesan kepada prestasi kontinjen menjelang Sukan SEA. Saya harap tiada sebarang perubahan lagi selepas ini,” katanya ketika membuat lawatan pada sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Huda berkata Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) perlu lebih peka dan tidak lagi meminda jadual atau venue pertandingan.

Sukan SEA ke-30 akan berlangsung dari 30 Nov sehingga 11 Disember ini bakal melibatkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Subic dan Clark.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, pihaknya masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada pegawai perubatan berhubung kedudukan terkini bintang muda Goh Jin Wei bagi mewakili negara ke Sukan SEA.

“Kita masih menunggu keputusannya, mungkin dalam masa terdekat. Apa pun, kami akan sentiasa memastikan Jin Wei dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang muncul satu-satunya penyumbang pingat emas kontinjen badminton negara menerusi acara perseorangan wanita terpaksa ‘direhatkan’ ke Sukan SEA 2019 susulan masalah kesihatan pada bahagian perutnya.

Kategori
BeritaSukan