UMNO, PAS Perak bertemu. Kerajaan PH Perak bakal tumbang?

"Kita bersiap sedia terhadap apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku. Ya, rakyat juga perlu siap sedia, rakyat pun sudah tidak tahan dengan suasana (politik) yang ada"

IPOH : Beberapa pemimpin kanan UMNO dan Pas Perak mengadakan mesyuarat tertutup di Ibu Pejabat Pas Perak di sini malam tadi.

Mengetuai UMNO pada mesyuarat itu adalah Pengerusi Perhubungan Perak, Datuk Saarani Mohamad manakala Pas Perak pula diketuai Pesuruhjayanya, Razman Zakaria.

Antara pemimpin UMNO yang turut hadir adalah Ketua Penerangan UMNO merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; bekas Menteri Besar Perak yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain.

Antara yang mewakili Pas Perak pula adalah Timbalan Pesuruhjayanya, Muhamad Ismi Mat Taib dan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Saarani hanya memaklumkan bahawa ia cuma pertemuan di peringkat negeri selepas kedua-dua parti itu mengadakan pertemuan di peringkat pusat pada 5 Mac lalu.

Malah, beliau menafikan ada perbincangan berkenaan cubaan untuk merampas semula pentadbiran kerajaan negeri Perak.

“Kita berbincang, bersembang dan suai kenal. Kita juga mengenalpasti punca, masalah dan cara mengatasinya, berkenaan politik semasa.

Bagaimanapun, Razman memberi indikasi berbeza apabila ditanya berkenaan isu-isu yang dibincangkan.

“Kita tunggu dan kita siap sedia apa juga kemungkinan yang akan berlaku dalam suasana politik yang tidak menentu masa kini. Macam-macam kemungkinan boleh berlaku dalam politik. Kita tunggu kalau ada (peralihan kuasa).

“Kita hormati demokrasi dan kerajaan yang ada, tapi kalau mereka sebelah sana (ADUN Pakatan Harapan) tak tahan, mari dekat (sertai) kita, kita terima sahaja.

“Kita bersiap sedia terhadap apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku. Ya, rakyat juga perlu siap sedia…rakyat pun sudah tidak tahan dengan suasana (politik) yang ada. Kita pun tahu perkara ini dan kita ambil kira aspirasi rakyat,” jelasnya.

Tular di media sosial ketika ini mendakwa Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan dua ADUN mesra Pakatan Harapan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi ditawar menyertai UMNO.

“Tidak ada (Ahmad Faizal minta pertolongan UMNO). Kita pun tak tawarkan mereka sertai UMNO,” jawab ringkas Shaarani.

Mesej tersebut turut mendakwa Ahmad Faizal meminta sokongan daripada UMNO kononnya DAP akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau.

Ia sekali gus akan memudahkan peralihan pentadbiran Kerajaan Negeri tanpa perlu diadakan Pilihan Raya Negeri.

Kategori
PolitikUtama