Terlalu awal bentuk kerajaan campuran Pas – UMNO

Sekarang ini bagi saya, kita lebih kepada 'taawun' iaitu kerjasama, memperkukuhkan kerjasama yang longgar.

KOTA BHARU 20 Sept. – Masih terlalu awal untuk Pas membentuk kerajaan campuran dengan UMNO biarpun kedua-dua parti tersebut telah menandatangani Piagam Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September lalu .

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, piagam tersebut hanya untuk mengesahkan ‘ta’awun’ di antara kedua-dua parti itu namun bukan membentuk pakatan politik, ‘tahaluf’.

Beliau berkata, Muafakat Nasional adalah garis panduan dalam menjalinkan kerjasama antara kedua-dua parti tersebut dan akan diperincikan oleh jawatankuasa khas.

“Muafakat Nasional itu lebih kepada perjanjian persefahaman (MoU) sebagai ‘tanda jadi’ secara rasmi sebab sebelum ini kerjasama itu tidak rasmi dalam pilihan raya kecil dan dalam (piagam) itu lebih kepada garis panduan antara Pas dan UMNO setakat mana, apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh buat.

“Sekarang ini bagi saya, kita lebih kepada ‘taawun’ iaitu kerjasama, memperkukuhkan kerjasama yang longgar. Kita tidak masuk kepada ‘tahaluf’ – pakatan poitik – lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Motivasi Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tabiah Mardhiah di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentukan kerajaan campuran di antara UMNO dan Pas di negeri ini selepas Piagama Muafakat Nasional ditandatangani baru-baru ini.

Sebelum ini, Menteri Bersar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dilaporkan berkata, pihaknya bersedia untuk membentuk kerajaan campuran dengan Pas di negeri ini dengan menawarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pas juga telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memperincikan perjanjian tersebut sebelum keputusan bersama dengan UMNO diambil untuk tindakan di semua peringkat kedua-dua parti.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, beliau berpendapat piagam tersebut lebih kepada rancangan jangka panjang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan bukannya untuk keputusan politik pada masa terdekat.

“Perlis sudah tawarkan (kerajaan campuran), itu mungkin pandangan peribadi Menteri Besar tetapi parti sendiri tidak ada apa lagi… perlu dibincangkan oleh Pusat, baru kita buat keputusan.

“Kalau kita (Pas) nak masuk macam Barisan Nasional (BN) dulu. Perlu dapatkan keputusan daripada Muktamar Tahunan. Kita tidak boleh pergi macam itu. Kita ada langkah-langkahnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, buat masa ini, kedudukan ADUN UMNO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ini masih sebagai pembangkang tetapi mesra kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE

Kategori
BeritaPolitik