SPR cadang mahu hapus maklumat kaum pengundi dalam daftar pemilih

Tindakan ini akan ditanggapi sebagai sebahagian daripada agenda politik Pakatan Harapan untuk mengurangkan pengaruh orang Melayu dalam politik

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata SPR akan mengkaji jika terdapat keperluan untuk menghapuskan maklumat kaum pengundi dalam daftar pemilih.

Ketika wawancara dengan stesen radio perniagaan BFM pada Selasa lalu, Azhar ditanya mengenai tanggapan untuk membuang pengenalan berdasarkan kaum supaya dapat mengurangkan ucapan dan janji yang bersifat perkauman.

“Kami telah membincangkan perkara ini dalam masa yang lama sekiranya maklumat kaum perlu dimasukkan ke dalam kad pengenalan dan kini sudah tentu pula kami perlu menghadapi persoalan jika butiran kaum perlu dilupuskan dari daftar pemilih pilihan raya,” jawab Azhar.

Pada masa ini, parti-parti politik daripada kedua-dua belah pihak menggunakan maklumat kaum yang ada di dalam daftar pemilih pilihan raya untuk agihan kerusi di antara sekutu parti-parti politik mereka dan merancang strategi pilihan raya.

Walaubagaimanapun, pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata langkah itu akan ditanggapi sebagai cubaan kerajaan PH untuk menghakis hak keistimewaan dan pengaruh orang Melayu dalam politik.

“Idea memadamkan butiran kaum dalam daftar pemilih akan mengundang penolakan orang Melayu yang dilihat sebagai menafikan hak-hak istimewa Melayu dalam perlembagaan.

“Tindakan itu akan ditanggapi sebagai sebahagian daripada agenda politik Pakatan Harapan untuk mengurangkan pengaruh orang Melayu dalam politik,” katanya

Kategori
PolitikUtama