Sokongan rakyat terhadap PH menurun

Ketidakpuasan hati rakyat mula berlaku apabila apa yang dikehendaki menerusi manifesto dan janji PRU-14 tidak ditunaikan.

Sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) mula menurun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas pelbagai faktor antaranya seperti kegagalan menunaikan janji manifesto, kenaikan harga barangan serta ketidakstabilan harga komoditi.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hasil kajian, pihaknya mendapati rakyat sememangnya mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas memberi kepercayaan kepada PH menerajui negara.
“Rakyat nyatakan kegusaran terhadap isu kehidupan yang berkait rapat dengan mereka, namun kebanyakan kajian menunjukkan hanya dalam penggal pertama pemerintahan populariti merosot, dan kembali meningkat dalam penggal kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Bengkel Penyelidik Efektif Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Tambah beliau, ketidakpuasan hati rakyat mula berlaku apabila apa yang dikehendaki menerusi manifesto dan janji PRU-14 belum ditunaikan.

Dalam masa sama katanya, penurunan sokongan itu juga berlaku atas dasar naluri manusia yang mahukan perubahan dalam tempoh singkat.

Katanya lagi, kerajaan baharu juga telah memberi kebebasan media seluas-luasnya sehingga mereka membentuk pemikiran rakyat bahawa terdapat harapan belum ditunaikan.

Kategori
PolitikUtama