Saya tak kritik agama lain – Steven Sim

Beliau menegaskan DAP begitu rancak mempromosi The Kingdom of God dan The Jesus Manifesto seperti yang diungkapkan oleh Steven dalam forum tersebut.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong meminta Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar menghormati kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu meminta Timbalan Presiden Pas berhenti menabur kebencian serta perpecahan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Steven menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan portal Malaysiakini pada 18 September 2019, bertajuk “Polis perlu siasat forum Naratif Malaysia Baru”.

Bagaimanapun Steven berkata, beliau telah dijemput untuk berucap pada forum bertajuk: “Anak Malaysia? Our story of past, present and future Malaysia”.

“Dalam ucapan forum di Gereja untuk orang Kristian dengan tujuan untuk membincangkan tentang tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Dalam ucapan saya, saya telah mengetengahkan nilai-nilai dalam Bible sebagai panduan menjadi warganegara Malaysia yang baik, contohnya, keadilan, ketelusan, membantu golongan yang lemah dan miskin, menolak rasuah, penindasan dan perkauman.

“Saya tidak mengkritik atau menyentuh mana-mana agama, malah mengajak penganut Kristian di Malaysia untuk menjadi warganegara yang mengamalkan nilai-nilai tersebut.

“Maka saya menyeru Tuan Ibrahim menghormati kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan dan tidak menabur kebencian sesuka hati,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan terbaharu, Tuan Ibrahim berkata, Pas mengingatkan DAP dan PH supaya tidak mempamerkan dakyah ‘bogeyman’ dengan melabelkan penyatuan ummah sebagai klepto-teokrasi, talibanisme, rasisme dan ekstremisme.

Beliau menegaskan DAP begitu rancak mempromosi The Kingdom of God dan The Jesus Manifesto seperti yang diungkapkan oleh Steven dalam forum tersebut.

Berikutan itu Tuan Ibrahim menggesa pihak polis menyiasat penganjuran dan kandungan forum tersebut bagi mengelakkan kecelaruan dalam kalangan rakyat.

“Apa yang diperjuangkan oleh PAS dan UMNO adalah penyatuan ummah yang lebih inklusif dengan mengutamakan perpaduan orang Melayu dan Islam tanpa prejudis terhadap kaum lain.

“Bagaimana pula dengan DAP? Adakah agenda Kristianisasi dalam politik Malaysia satu tindakan yang wajar?” katanya.-

Kategori
BeritaPolitik