Rayuan Tun taktik menjelang PRK- MCA

Kita tidak terancam sekali pun

KUALA LUMPUR 8 Okt. – MCA menyifatkan ‘rayuan sinis’ Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya UMNO bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebagai taktik memecah belah pihak pembangkang.

Presiden Wee Ka Siong memberitahu, Dr. Mahathir seorang ahli politik veteran yang berpengalaman dalam memecah belah pihak lawan.

“Kita tidak terancam sekali pun,” katanya seperti dipetik Portal Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

Dr. Mahathir semalam berkata, penyertaan calon UMNO dalam PRK itu nanti akan membantu menyumbang kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Di pihak Barisan Nasional (BN), UMNO dan MCA masing-masing mengumumkan minat untuk bertanding di kerusi itu yang kosong selepas kematian penyandang, Md. Farid Md Rafik dari PPBM pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi manakala penyandang, Wee Jeck Seng dari MCA meraih 20,731 undi dan Nordin Othman dari PAS dapat 2,962 undi.

Tarikh pilihan raya bagi Parlimen Tanjung Piai ditetapkan pada 16 November ini. – UTUSAN ONLINE

Kategori
BeritaPolitik