Rais jawab sindiran Dr. Mahathir

“Itu tanggungjawab yang diberikan kepada saya semasa parti ini mula-mula ditubuhkan hingga sekarang. Selama ini tidak ada sesiapa yang membangkitkan perkara itu,”

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Rais Hussin memaklumkan bahawa beliau menggalas jawatan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi sejak hari pertama parti ditubuhkan.

“Saya tidak tahu apa yang dikatakan Dr. Mahathir dalam mesyuarat tadi (semalam) tetapi yang saya pasti sejak hari pertama penubuhan parti, saya pengerusi biro dasar dan strategi.

“Itu tanggungjawab yang diberikan kepada saya semasa parti ini mula-mula ditubuhkan hingga sekarang. Selama ini tidak ada sesiapa yang membangkitkan perkara itu,” katanya seperti dipetik portał Free Malaysia Today semalam.

Beliau mengulas sindiran Dr. Mahathir yang membidas seorang ahli kanan parti itu yang digelar ‘pakar strategi’, mengatakan tidak ada jawatan itu dalam Bersatu.

Perkembangan itu sehari selepas Rais, yang selalu dirujuk sebagai ketua strategi parti, memberi amaran bahawa Pakatan Harapan (PH) akan kalah sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Dr. Mahathir berkata kenyataan seperti itu boleh merosakkan imej PH, dan tindakan akan diambil terhadap mereka.

Rais walau bagaimanapun tetap mempertahankan kenyataannya di forum ‘Pilihan raya-pilihan raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia semalam.

“Isu ini timbul sebab saya bercakap benar,” katanya, menegaskan dia berhak memberikan pandangan berasaskan fakta.

“Saya menunggu apakah tindakan selanjutnya memandangkan saya tidak ada dalam mesyuarat tadi. Saya sedia jawab apa sahaja soalan yang mereka tanyakan. Saya akan ikut prosedur yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Kategori
BeritaPolitikUtama