PRK Rantau : PH serang Tok Mat kerana bimbang sokongan rakyat

Pakatan Harapan (PH) melancarkan serangan peribadi terhadap Datuk Seri Mohamad Hasan ekoran bimbang dengan momentum sokongan rakyat kepadanya di Rantau.

REMBAU  – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, Pakatan Harapan (PH) melancarkan serangan peribadi terhadap Datuk Seri Mohamad Hasan ekoran bimbang dengan momentum sokongan rakyat kepadanya di Rantau.

Menurut beliau, serangan terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu dipercayai bermula sejak beberapa hari lalu.
“Lawan kita lihat momentum sedang meningkat dan dalam masa dua atau tiga hari lepas mereka mula lakukan serangan peribadi. Sebelum ini mereka bercakap tentang dasar dan janji PH tetapi sekarang banyak serangan peribadi.

“Macam-macam cerita diungkit semula. Yang saya baca, mereka persoalkan tentang pengisytiharan harta Tok Mat (Mohamad). Semasa dalam kerajaan BN, menteri dan menteri besar biasa isytiharkan harta,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Sepentas BN di Taman Kelab Tuanku di sini malam ini.

Yang turut hadir Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R.S Thanenthiran.

Mengulas pihak tertentu yang mempertikaikan harta milik Mohamad, Khairy berkata, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu merupakan tokoh korporat dan memegang jawatan penting dalam syarikat pengeluar kereta antarabangsa sebelum menceburi bidang politik.

“Beliau bukan ahli politik sejak muda, pada tahun 2004, Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) panggil Tok Mat yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mercedes-Benz. Beliau bukan CEO jaga di Malaysia tetapi CEO di Asia Tenggara. Jarang sekali kita tengok syarikat Eropah lantik anak tempatan jadi CEO di negara yang mereka melabur.

“Pak Lah minta dia tinggalkan jawatan itu, menang dilantik jadi MB (menteri besar). Gaji MB dengan korporat jauh beza tetapi sebab dia sayangkan Rantau, dia sanggup. Tak hairan kalau dia ada harta, orang Rantau tahu cerita ini tapi orang luar mungkin tak tahu,” katanya.

Kategori
PolitikUtama