PKR nyata pendirian mengenai Dr Zakir Rabu ini

Saya ada pandangan tetapi saya merasakan saya baru balik dan pimpinan merasakan mereka nak beri hujah mereka kerana mengikutinya lebih dekat.

SHAH ALAM: PKR akan menyatakan pendirian parti itu berhubung isu desakan supaya pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, dihantar pulang ke negara asalnya, pada Rabu ini selepas mesyuarat Biro Politiknya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau meminta dua tiga hari sebelum mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan parti itu berikutan baru saja pulang daripada mengerjakan haji.

Beliau berkata, sepanjang di Tanah Suci, beliau menumpukan perhatian pada ibadah dan tidak mengikuti semua perbincangan mengenai isu berkenaan.

Katanya, turut akan dibincangkan pada mesyuarat itu isu pengajaran tulisan Jawi di sekolah dan Dong Zong.

“Saya mahu dengar pandangan pimpinan dan kita buat mesyuarat, kalau tak salah Rabu.

“Saya ada pandangan tetapi saya merasakan saya baru balik dan pimpinan merasakan mereka nak beri hujah mereka kerana mengikutinya lebih dekat.

“Pada masa (mengenakan) haji dan ziarah saya tidak ikuti perbincangan, saya tumpukan soal ibadat jadi oleh yang demikian saya harus berikan ruang kepada pimpinan untuk berikan pandangan,” katanya kepada pemberita, selepas merasmikan Konvensyen Motivator Profesional, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ia adalah isu yang boleh diperdebatkan selain masyarakat sedang marah.

Justeru, katanya, beliau merasakan ada keperluan untuk perbincangan dan pemadaman sebelum partinya menyatakan sebarang pendirian.

“Mesej saya jelas, anda perlu jelas dengan prinsip anda bahawa negara ini mempunyai sejarah, pemerintahan Melayu dan juga berbilang kaum dan agama dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kita seharusnya berpegang kepada prinsip itu dan saya tidak percaya kita harus mempunyai sentimen yang bersifat prejudis perkauman dan keagamaan.

“Saya tidak percaya Islam mempromosikan tidak bertolak ansur dan ketidakadilan. Pendirian Islam sangat jelas atas prinsip keadilan dan toleransi dan saya berpandukan kepada itu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan Dr Zakir untuk mendapatkan penjelasan, Anwar berkata, ia tidak perlu, sebaliknya beliau akan membaca semua penjelasan pendakwah itu selain merujuk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas mengenai isu pengajaran Jawi di sekolah, Anwar berkata, beliau melihat ia sebagai sesuatu yang remeh berbanding dengan usaha memperkasa dan memastikan penguasaan bahasa Melayu pada tahap terbaik untuk semua rakyat serta mutu pendidikan negara.

Katanya, semua pihak tidak seharusnya mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu yang penting dalam memartabatkannya sebagai bahasa Kebangsaan.

“Yang kedua, nak pertingkatkan penguasaan bahasa lain, itu dibolehkan kerana ia bukan ‘zero one game’ (hanya satu pemenang, yang lain pihak yang kalah),” katanya.

Kategori
BeritaPolitik