Kata beliau lagi, keadaan bertambah buruk apabila pemimpin Cina dan India PH sendiri nampak lebih ‘garang’ dalam kerajaan, sekali gus membuatkan orang Melayu semakin tidak selesa.

“Walaupun diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) atau Datuk Seri Anwar Ibrahim (bakal Perdana Menteri), kerajaan PH lebih kepada bukan Melayu. Ini berbeza berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO.

“PH kini terperangkap. Mereka menyalahkan tindak-tanduk kerajaan sebelum ini. Tetapi mereka sendiri tiada agenda Melayu,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Kata Ke Ping, semasa kerajaan BN, begitu terserlah kuasa yang dimiliki oleh orang Melayu menerusi UMNO, sedangkan dalam kerajaan PH tiada sebuah parti Melayu yang benar-benar menguasai parti kerajaan itu.

Baginya, masalah yang dihadapi PH ketika ini agak mencabar dan dirasakan sukar mengekalkan sebuah kerajaan stabil untuk tempoh yang panjang.

Pada masa sama, beliau berkata dirinya dari awal sudah menjangkakan kemenangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan terutama hasil kerjasama UMNO dan Pas. – UTUSAN ONLINE