PH buka kunci bom jangka pergaduhan antara kaum – Pas Perak

“Sampai zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka kata penyatuan Melayu itu bahaya,”

KUALA LUMPUR – Pas Perak melahirkan rasa kecewa dengan sikap berdendam Parti Amanah Negara (PAN) melalui kenyataan Pengerusi Selangor, Izham Hashim bahawa penyatuan Pas dan UMNO berbahaya untuk Malaysia.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, dendam dan dengki itu sebenarnya sikap yang berbahaya sambil menyifatkan parti serpihan Pas itu sebagai tidak boleh berfikir dengan rasional.

“Mana mungkin apabila bangsa bersatu Malaysia bahaya. Sejak dari tadika sehingga ke universiti diajarkan bahawa semua bangsa dan kaum harus hidup dalam perpaduan dan penyatuan.

“Sampai zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka kata penyatuan Melayu itu bahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Izham menyifatkan penyatuan UMNO-Pas sebagai satu agenda berbahaya kepada rakyat di negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Izham berkata, pelbagai naratif dibina oleh UMNO-Pas bagi mencetuskan persepsi di dalam masyarakat bahawa PH bakal menggugat kedudukan Melayu dan agama Islam.

Dalam pada itu, Razman mendakwa PH sendiri mencetuskan perbalahan di antara kaum terbesar di negara ini berbanding penyatuan ummah yang dibawa UMNO-Pas untuk meredakan keadaan.

“Pemerintahan PH dalam tempoh tidak sampai dua tahun seolah-olah membuka kunci bom jangka pergaduhan antara kaum.

“Penyatuan Pas-UMNO memberi cahaya mematikan suis api permusuhan yang dinyalakan oleh pimpinan PH.

“Akar umbi Pas dan UMNO menyambut baik penyatuan ummah ini dan dalam masa yang sama mengeratkan lagi hubungan di antara kaum lain,” katanya lagi.

Kategori
BeritaPolitik