Pergeseran UMNO dan Pas cerita orang lama

Kedua-dua parti ini sudah pun membuka lembaran baharu dan bekerjasama secara rapat untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara melalui penyatuan ummah ini.

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Pergeseran antara dua parti Melayu terbesar dalam negara, UMNO dan Pas seperti dimomokkan Pakatan Harapan (PH) hanyalah cerita lama dan tidak perlu diungkit mana-mana pihak dengan niat yang jahat.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, UMNO dan Pas boleh diibaratkan seperti adik beradik yang menghadapi salah faham tetapi pada akhirnya telah berbaik semula seperti kata pepatah ‘air yang dicincang tidak akan putus’.

“Kedua-dua parti ini sudah pun membuka lembaran baharu dan bekerjasama secara rapat untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara melalui penyatuan ummah ini.

“Puteri UMNO dan Ameerah Pas bukan sekadar memperjuangkan keselesaan anak muda dan rakyat tetapi turut mempertahankan identiti negara, kontrak sosial, kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog pentas anak muda Puteri UMNO dan Ameerah Pas sempena Perhimpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Pengarah Ameerah Pas, Zuraida Md. Noor.

Mengulas lanjut, Zahida berkata, beliau yakin yang Himpunan Penyatuan Ummah akan mengubah landskap politik negara terutama selepas piagam bersama UMNO dan Pas dimeterai nanti.

Katanya, hal itu kerana sudah lama rakyat menantikan penyatuan dua parti Melayu terbesar dalam negara berlaku selain kegagalan kerajaan PH menunaikan manifesto mereka. – UTUSAN ONLINE

Kategori
BeritaPolitik