Manifesto PH Bukan Tipu, Cuma Tak Laksana, Kata Ahli Parlimen PKR

Manifesto PH bukannya tipu cuma tak laksana

KUALA LUMPUR – “Tak laksana, bukan tipu”. Demikian tegas M. Karupaiya (PH-Padang Serai) ketika menyanggah istilah penipuan yang digunakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung kegagalan kerajaan menunaikan manifesto.

Karupaiya yang bangun mencelah ketika Ismail berbahas usul menjunjung kasih titah ucapan diraja semalam berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menipu rakyat sebaliknya istilah sesuai adalah ‘tidak melaksanakan’.

“Perkataan menipu kena tarik balik. Kalau (Ismail Sabri guna) tak laksana, itu boleh diterima. Kita PH tak pernah tipu rakyat. Kita tak bohong macam BN. Tarik balik (ayat penipuan),” kata wakil PKR itu.

Keadaan kemudian bertambah gamat apabila Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) pula membangkitkan bagaimana dengan perkataan perompak yang sering digunakan PH.

“Perompak belum terbukti, penipu dah terbukti. Kalau tak boleh sebut penipu, jangan sebut perompak,” tegas Noh sambil menjerit kepada Karupaiya “sudahlah, duduk penipu’.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bangun menyokong Noh kerana tempoh 100 hari yang dijanjikan sudah berlalu buat selamanya dan ini terbukti PH menipu.

“Kalau buat pun selepas ini, janji dulu 100 hari, bererti tetap tipu,” sindir Ahmad.

Ini menyebabkan Karupaiya menjerit: “(BN) 60 tahun kamu orang tipu tak rasa, ini 100 hari sudah rasa.”

Ismail Sabri yang juga Ketua Pembangkang kemudian meneruskan ucapannya selepas diarahkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon. – UTUSAN

Kategori
PolitikUtama