Kit Siang anggap Dr. Mahathir salah labelkan Dong Zong rasis

"Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad salah menggelarkan Dong Zong sebagai 'rasis', tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah Cina dan Tamil bermula tahun 2020 sebagai permulaan Islamisasi,"

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah salah apabila menggelarkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai rasis.

Pemimpin DAP itu juga berkata, tindakan Dong Zong mendakwa pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) sebagai permulaan Islamisasi juga adalah salah.

“Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad salah menggelarkan Dong Zong sebagai ‘rasis’, tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah Cina dan Tamil bermula tahun 2020 sebagai permulaan Islamisasi,” katanya menerusi kenyataan dalam blognya, blog.limkitsiang.com hari ini.

Di Langkawi, Kedah semalam, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), SJKC dan SJKT.

Beliau dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata terdapat ‘teori konspirasi’ bahawa isu yang menjadi kontroversi itu dicipta oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik atau Perdana Menteri bagi tujuan politik tertentu.

“Namun sebenarnya, kontroversi Jawi ini adalah legasi daripada kerajaan terdahulu kerana keputusan muktamad mengenai buku teks baharu sekolah rendah Cina dan Tamil untuk memperkenalkan subjek Jawi untuk murid-murid Tahun 4 pada tahun 2020 telah dibuat oleh Jawatankuasa Kurikulum Kementerian Pendidikan yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan dan dua Timbalan Menteri Pendidikan dalam mesyuarat pada 30 September 2015.

“Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Chin hanya tahu tentang perkara itu ketika kontroversi itu meletup bulan lalu,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Kategori
BeritaPolitik