“Konsep ini seolah-olah cuba melupakan matlamat asal penubuhan Tabung Haji yang berperanan membantu memudahkan dan menguruskan segala aspek berkaitan urusan mengerjakan ibadah haji umat Islam dalam negara.

“Adakah kenyataan Mujahid berkaitan konsep ini memberi petunjuk yang kerajaan PH tidak mahu membantu Tabung Haji mengembangkan perniagaan mereka?” katanya.

Semalam, Mujahid dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat menjelaskan kerajaan akan memperkenalkan konsep istito’ah bagi mengurangkan beban subsidi Tabung Haji ke atas para jemaah haji.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan langkah tersebut yang seolah-olah memberi isyarat kegagalan penstrukturan semula Tabung Haji termasuk kesilapan keputusan penjualan aset-aset strategiknya kepada syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan yang bernilai RM19.9 bilion.

Katanya, pendekatan itu dilihat berbeza dengan kerajaan terdahulu yang sentiasa memastikan Tabung Haji mampu menyediakan subsidi untuk mengurangkan kos jemaah haji pertama kategori Muassasah.

“Walau apa pun alasan, kita merayu Mujahid yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama mewakili kerajaan PH untuk menghayati matlamat asal penubuhan Tabung Haji,” katanya.