Isu Lynas : Fuziah, Bee Yin perlu ‘disekolahkan’, henti politikan isu untuk raih sokongan, kata Menteri

Fuziah dan beberapa menteri lain tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai Lynas dan telah mempolitikkan isu itu untuk mendapatkan sokongan politik.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan beberapa ahli parlimen DAP termasuk menteri Yeo Bee Yin perlu ‘disekolahkan’, kata Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.

Redzuan berkata demikian selepas diarahkan ‘menutup mulut’ oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) susulan kenyataannya membenarkan kilang memproses nadir bumi terus beroperasi di Kuantan, Pahang.

“Mengarahkan saya untuk tutup mulut dan jaga hal kementerian sendiri, mereka ini saya fikir perlu ‘disekolahkan’. Sebagai menteri kabinet, saya ada locus standi untuk bercakap pasal Lynas (meneruskan Lynas). Saya menyuarakan keputusan dan konsensus kabinet.

“Fuziah yang tidak ada locus standi. Kepada Yeo Bee Yin, menteri berkenaan sentiasa ada fungsi yang bertindan dan sepatutnya tidak bekerja dalam silo.

“Menteri kena bekerjasama dalam satu pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sabtu lalu, Redzuan berkata Lynas boleh terus mengendalikan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan dengan menekankan kepentingan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing ke negara ini.

Redzuan juga mendakwa keputusan Yeo yang meminta sisa Water Leach Purification (WLP) dari kilang Lynas dihantar ke luar negara tidak disokong oleh kabinet.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, yang juga Ahli Parlimen Kuantan kemudian meminta Redzuan berhenti mengulas isu itu dengan mengatakan ia bukan di bawah bidang kuasanya.

Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack yang sebelum ini mengetuai protes terhadap Lynas, juga membuat gesaan serupa.

Redzuan dipetik sebagai berkata bahawa Fuziah dan beberapa menteri lain tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai Lynas dan telah mempolitikkan isu itu untuk mendapatkan sokongan politik.

“Jujurlah, kepada ahli parlimen kerajaan, ubahlah sikap selama 61 tahun sebagai pembangkang,” katanya.

Kategori
PolitikUtama