Menerusi satu kenyataan akhbarnya, Jawatankuasa Kerja PSSM menjelaskan, dalam mentadbir negara, soal integriti, kejujuran dan kebolehpercayaan terhadap seseorang pemimpin perlu diambil perhatian serius, kerana jika ia dipandang ringan atau dianggap boleh dimaafkan, bererti kerajaan tidak mempedulikan kesan moral.

“Pemimpin perlu bertanggungjawab atas apa yang mereka cakap, atas apa mereka capai serta perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka. Malaysia tidak boleh dipimpin mereka yang tidak jujur mahupun gila kuasa. Kita memerlukan pemimpin berintegriti, jujur, dipercayai dan tidak angkuh. Ini adalah asas membina Malaysia baharu.

“PSSM secara tegas menolak ketidakjujuran dalam kalangan pemimpin dan juga menolak sebarang percubaan yang menjejaskan kemurnian sistem pentauliahan akademik. Kita perlu membina Malaysia baharu berdasarkan kepada prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan kejujuran sebagai agenda pembaharuan dalam kerajaan,” jelas persatuan itu.

Isu ijazah palsu timbul selepas kelulusan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya mula dipersoal setelah semakan yang dibuat dengan universiti didakwa mendapati tiada rekod, sebelum ia melarat kepada beberapa pemimpin kerajaan lain antaranya Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Turut dipertikaikan status akademik dan kelulusn mereka adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta tidak terkecuali Menteri Kewangan sendiri, Lim Guan Eng.

Dalam perkembangan yang sama, PSSM menjelaskan, penipuan kelulusan akademik perlu dicegah kerana jika dibiarkan, permasalah itu

boleh membawa mala petaka kepada rakyat kerana negara seolah-olah mengizinkan orang yang tidak berkebolehan atau berkelayakan berlagak sebagai yang berkebolehan dan berkelayakan.

“Agenda pembaharuan perlu kekal pada landasan yang betul jangan sekali-kali tergelincir dan untuk itu moraliti serta integriti dalam pendidikan perlu dijadikan fundamental pada semua peringkat berasaskan etika sekaligus berupaya melahirkan individu yang bertanggungjawab masyarakatnya dan negaranya,” jelas PSSM. – UTUSAN ONLINE