Kerajaan seharusnya tidak memberi tekanan kepada mana-mana pendidik mahu pun mahasiswa.

Pihak pengurusan universiti perlu sentiasa mendukung pendirian dan kebebasan mahasiswa, mahupun pensyarah asalkan ia tidak bertentangan dengan undang-undang negara serta peraturan-peraturan universiti.

Ini adalah salah satu tugas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk memastikan kebebasan bersuara itu diamalkan semua institusi.

Beliau perlu memberi jawapan atas penindasan ini.

Ini merupakan satu detik hitam dalam sejarah mengenai kebebasan akademik dalam negara.

Ia juga merupakan langkah ke belakang kerajaan yang kononnya mahu memperjuangkan kebebasan akademik apatah lagi apabila Dr. Maszlee sendiri komited mahu memperjuangkannya.

Kritikan dan persoalan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saudara Abdul Muein Abadi terhadap kerajaan yang menjual aset RM20 bilion dalam masa 400 hari perlu dijawab dengan hujah yang rasional dan bukannya menggunakan tekanan politik untuk mengunci mulutnya.

Apalah makna ungkapan ‘Malaysia Baharu’ yang sering diungkapkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka gagal memupuk politik matang.

Penulis merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Jelebu