Walaupun sudah mengetahui siapa ‘dalang’ tindakan itu, beliau tidak mahu mendedahkannya kepada media.

“Saya dah dimaklumkan kenapa dan mengapa perkara itu berlaku. Saya rasa jalan terbaik adalah untuk rakan media tanya mereka (kerajaan Johor) sendiri dan siasat siapa yang mengarahkan walaupun dah dibincangkan secara konsensus.

“Isu ini akan saya bangkitkan dalam jemaah menteri dan bincangkan secara lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, dalam tempoh 24 jam, kerajaan Johor membuat dua keputusan berbeza tentang penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Selepas mengumumkan menerima perubahan kerajaan Persekutuan untuk menurunkan had umur kepada 30 tahun, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali memberitahu kerajaan negeri kembali kepada pendirian Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal sehari sebelum itu yang mahu had umur belia kekal 40 tahun.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq memaklumkan telah memperoleh persetujuan daripada exco belia negeri berkenaan pindaan tersebut.

Kata beliau, mesyuarat telah dijalankan dan tiada tentangan direkodkan sepanjang mesyuarat.

“Kalau ikut minit mesyuarat banyak kali (perbincangan diadakan). Sebelum ini saya jumpa dengan semua exco belia dan sukan negeri, dah dimaklumkan dan mereka setuju.

“Mereka juga dimasukkan dalam Jawatankuasa Khas Anak Muda yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri dan dihadiri oleh semua exco sukan. Tiada tentangan, semua dipersetujui. Minit mesyuarat pun ada,” katanya.