Apa sudah jadi dengan kes berkaitan PH? Kerajaan PH tutup mata?

Kes yang melibatkan pemimpin PH setakat ini belum ada yang dibawa ke mahkamah

Sejak Pakatan Harapan (PH) menang pada Mei lalu, ada pelbagai dakwaan salah laku anggota pentadbiran, dan individu yang berkaitan dengannya, yang dilapor media secara meluas.

Bagaimanapun setakat ini belum ada yang dibawa ke mahkamah.

Enam bulan lalu, rakaman video menunjukkan pegawai khas kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Aziz Jamman merakam dari bawah skirt seorang wanita. Pegawai itu dibuang, tetapi tiada rekod menunjukkan dia didakwa.

Ketika pemilihan PKR hujung tahun lalu, beberapa pekerja parti ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kejanggalan dalam senarai keanggotaan parti.

Seorang pemimpin PKR Sarawak menyerahkan apa yang disifatkannya sebagai bukti yang “tak dapat disangkal” tentang pembelian undi. Sejak itu, tiada kemas kini berkenaan siasatan SPRM terhadap pemilihan PKR.

Disember lalu, setiausaha politik perdana menteri Zahid Md Arip disebut dalam sepuluh pertuduhan rasuah terhadap bekas pengerusi Felda Isa Abdul Samad.

Sebulan kemudian, anak lelaki Menteri Pertahanan Mohamad Sabu didakwa positif ganja. Kertas siasatan polis telah dihantar kepada pendakwaan.

Ada juga pelbagai laporan polis berhubung kesalahan pilihan raya ketika kempen PRK Cameron Highlands, melibatkan calon PH M Manogaran dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Pengarah Eksekutif Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata tiadanya kemas kini daripada pihak berkuasa memang menjadi satu kebimbangan.

 

Kategori
PolitikUtama