Wujudkan ISA, pertahan Akta Hasutan

“Perlu pertimbangkan semula ISA. Keadaan sekarang makin kritikal. Banyak pihak yang kini diibaratkan ‘baling batu nampak tangan’, ‘bukan lagi sembunyi tangan.’

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajar mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam situasi politik terkini yang mengancam perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Malah, Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Akta Hasutan 1948 juga perlu dipertahankan ekoran banyak perkara bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan isu sensitif termasuk perkauman dibangkitkan.

Katanya, ini kerana pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan kesukaran bagi menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan.

“Perlu pertimbangkan semula ISA. Keadaan sekarang makin kritikal. Banyak pihak yang kini diibaratkan ‘baling batu nampak tangan’, ‘bukan lagi sembunyi tangan.’

“Kita tidak mahu berlaku kemusnahan atau kebinasaan terlebih dahulu baru kerajaan ambil tindakan. Tambahan pula, semakin banyak yang angkuh dan biadab, “ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE

Kategori
BeritaNasional