Usaha kerajaan banteras rasuah masih gagal

Kerajaan tidak boleh biar kadar gaji kakitangan awam berada di tahap sekarang sekiranya aktiviti rasuah boleh menjadi pilihan mereka. Kerajaan perlu melaksanakan kajian segera untuk menyemak kadar gaji dan upah ini sebelum terlambah dan aktiviti tidak menjadi serius.

KUALA LUMPUR: CUEPACS kecewa dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan bahawa 22.1 peratus penjawat awam bersikap terbuka untuk menerima rasuah.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata pendedahan itu menandakan usaha membanteras rasuah yang dilakukan kerajaan masih gagal untuk diterapkan dalam sektor awam.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan juga perlu memandang serius dapatan kajian itu dengan melaksanakan inisiatif segera termasuklah meningkatkan kadar gaji dan upah kakitangan awam ke tahap yang lebih tinggi atau sesuai dengan kadar semasa.

“Kerajaan tidak boleh biar kadar gaji kakitangan awam berada di tahap sekarang sekiranya aktiviti rasuah boleh menjadi pilihan mereka. Kerajaan perlu melaksanakan kajian segera untuk menyemak kadar gaji dan upah ini sebelum terlambah dan aktiviti tidak menjadi serius.

“Kakitangan awam yang sanggup menerima rasuah ini adalah disebabkan pola pendapatan mereka rendah disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin tidak menentu.

“Sebagai contoh, mereka ini, ingin membeli rumah yang sesuai tetapi rumah sedemikian pula mahal, jika ia dibeli sudah pasti pendapatan tidak mencukupi dan akibatnya rasuah berlaku,” katanya kepada BH.

Semalam BH melaporkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil mendedahkan rasuah dalam kalangan penjawat awam merisaukan apabila kajian mendapati, 22.1 peratus kakitangan awam mengakui sanggup menerima rasuah sekiranya mereka berkuasa dalam kerajaan.

Shamshun Baharin berkata, rasuah berlaku dalam segmen perolehan dan 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah adalah golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

Mengulas dapatan itu, Azih berkata, kebanyakan penjawat awam muda terbabit dengan rasuah kerana tidak mampu memenuhi keperluan akibat kos sara hidup yang tinggi.

Jelas beliau, kali terakhir kerajaan menyemak skim gaji adalah pada 2016 namun hanya kenaikan kecil sahaja berlaku, berbanding pekerja swasta yang mempunyai Perjanjian Bersama (CA).

Kategori
BeritaNasional