Tun M letak kalungan bunga untuk Ataturk

Bagi masyarakat Turki, Ataturk adalah tokoh besar yang membebaskan mereka daripada belenggu penjajahan.

ANKARA: Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan acara pertama dalam siri lawatan empat hari ke Turki, hari ini, dengan berkunjung ke Anitkabir, di sini.

Di situ, Perdana Menteri meletakkan kalungan bunga di makam Pengasas dan Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Ataturk.

Dr Mahathir yang diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking dan Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab, turut menandatangani buku penghormatan serta kunjungan singkat ke muzium.

Perdana Menteri berada di situ kira-kira 30 minit.

Bagi masyarakat Turki, Ataturk adalah tokoh besar yang membebaskan mereka daripada belenggu penjajahan.

Oleh itu, makam Ataturk dibina luar biasa, dengan pembinaannya mengambil masa sembilan tahun atas bukit luas di ibu kota Ankara.

Memimpin Turki sejak 1923, Ataturk menggulingkan empayar Islam Othmaniah pada 1925. Beliau meninggal dunia pada usia 57 tahun pada 1938 kerana sakit ginjal.

 

Kategori
BeritaNasional