Tidak pernah setuju apapun, Dr Mahathir label Dong Zong rasis

“Dong Zong ini rasis, kita buat sekolah satu kampus Sekolah Wawasan nak letak Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus, mereka tidak mahu.

LANGKAWI, 12 Ogos (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk berkaitan isu tulisan khat dan Jawi di sekolah.

Perdana menteri berkata, selain dalam isu berkenaan, kumpulan itu juga sebelum ini membantah penubuhan Sekolah Wawasan.

“Dong Zong ini rasis, kita buat sekolah satu kampus Sekolah Wawasan nak letak Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus, mereka tidak mahu.

“Sebabnya (mereka) takut anak-anak dia bercampur dengan Melayu, jadi dia tidak mahu. Semuanya (yang dilaksanakan kerajaan) dia bantah, tidak pernah bersetuju dengan apa pun,” kata perdana menteri kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan penduduk di Padang Matsirat sempena majlis korban di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai langkah Dong Zong yang akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata keputusan memperkenalkan tulisan Jawi itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu, namun kumpulan pendesak Cina itu tidak membangkitkan pada waktu tersebut.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan hari ini mengamalkan dasar yang lebih terbuka untuk mana-mana pihak menyuarakan pandangan berbanding kerajaan sebelum ini.

Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa pada ketika negara hendak mencapai kemerdekaan, kerajaan memperkenalkan tulisan rumi bagi memudahkan orang bukan Melayu kerana mereka sukar untuk mempelajari tulisan Jawi.

“Jadi orang Melayu pula dia kena belajar Jawi pasal dia kena baca al-Quran. Jadi, apa yang kita nak berkelahi Kita sudah bagi pertimbangan khusus untuk kepentingan orang yang bukan Melayu,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan berkaitan sesuatu dasar seperti itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet sebelum diputuskan, Dr Mahathir menjelaskan hampir semua perkara dibincangkan dalam kabinet, namun kandungan perbincangan tidak didedahkan kepada umum.

Sementara itu, mengulas mengenai desakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mahu kuasa Perdana Menteri dihadkan dalam membuat keputusan, Dr Mahathir secara sinis berkata beliau akan merujuk Charles sebelum membuat sebarang keputusan.

“(Pada) masa depan apabila hendak buat keputusan, saya saya akan tanya Charles Santiago boleh atau tidak, kalau dia tidak bersetuju saya tidak akan buatlah. Ya lah, mesti kena dapat pandangan dia, dia setaraf dengan saya,” katanya.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional