Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, permintaan melibatkan kelulusan khas daripada Perdana Menteri itu sedang dikaji dan ia masih lagi berada di peringkat perbincangan dengan Perbendaharaan Malaysia.

Menurutnya, terdapat prosedur-prosedur yang harus diikuti termasuk melihat kepada keadaan kewangan negara dengan memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih perlu diutamakan.

“Tahun ini tidak mungkin, sedih untuk diperkata tetapi kalau dapat Alhamdulillah, ia satu bonus besar. Walau bagaimanapun, saya sempat juga bercakap dengan Yang di-Pertuan Agong mengenai keperluan anggota bomba ini dan baginda sangat prihatin dan bersetuju.

“Begitu juga dengan Sultan Perak, saya sebut dalam bomba, sudah tiba masanya kita menaikkan gred mereka dan harus diberikan perhatian lebih teliti kerana tugas mereka seperti semua maklum, kerja-kerja khas lebih banyak daripada banjir dan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak di Bandar Meru Raya yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Dalam perkembangan berlainan, Zuraida berkata, pihaknya akan mengusulkan pembinaan balai bomba jenis E bagi menepati keperluan di kawasan terpencil dalam pembentangan Bajet 2020 yang akan datang.

Beliau berkata, pembinaan balai jenis berkenaan membabitkan pasukan bomba sukarela di kawasan seperti rumah panjang dan kampung air itu dilihat lebih praktikal dan ekonomik.

“Sebanyak 14 balai bomba jenis E dikenal pasti untuk dibangunkan pada tahun depan di 10 kawasan di Semenanjung Malaysia dan dua lagi masing-masing di Sabah dan Sarawak,” katanya. -UTUSAN ONLINE