Sudah ada pihak berminat beli MAS – PM

''Ada pihak tertentu dari dalam dan luar mahu membeli MAS, maka kita tidak menolak. Kita akan kaji sama ada jual atau tidak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mendedahkan sudah ada pihak dalam dan luar negara berminat membeli Malaysia Airlines (MAS).

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kekangan kewangan menyebabkan kerajaan berdepan kesukaran membantu syarikat itu ‘terbang’ seperti sebelum ini.

Mengakui masih menyayangi Malaysia Airlines, Dr Mahathir berkata, cadangan menjual syarikat penerbangan kebanggaan negara itu adalah antara pilihan perlu dipertimbang selepas mengambil kira kerugian ditanggung syarikat berkenaan.

Walaupun pengurusan Malaysia Airlines ketika ini turut dibarisi pengurus dari luar negara, Perdana Menteri berkata, syarikat berkenaan tetap mengalami kerugian.

“Saya sayang MAS (Malaysia Airlines). Saya mahu MAS dijadikan ‘airline’ (syarikat penerbangan) nasional. Tetapi kita nampak seolah-olah kita tidak mampu.

“Ada pihak tertentu dari dalam dan luar mahu membeli MAS, maka kita tidak menolak. Kita akan kaji sama ada jual atau tidak.

“MAS masih mengalami kerugian walaupun kita memilih pengurusan dari luar, maka satu daripada cara adalah menjualnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbang beberapa langkah terhadap Malaysia Airlines, termasuk kemungkinan menutupnya berikutan kerugian dihadapi sejak beberapa tahun lalu yang menyumbang sebahagian besar susut nilai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

 

 

Kategori
NasionalUtama