SPRM bawa enam lagi penguat kuasa JPJ ke mahkamah hari ini

Mereka juga adalah sebahagian daripada 18 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang didakwa secara berperingkat bermula semalam.

BUTTERWORTH, 25 Julai (Bernama) — Pendakwaan kes rasuah membabitkan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang diteruskan hari ini dengan enam lagi penguat kuasa jabatan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini.

Kesemua mereka didakwa menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebih muatan di negeri ini.

Mereka juga adalah sebahagian daripada 18 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang didakwa secara berperingkat bermula semalam.

Semalam, lima penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 29 dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Pada 28 Mei lepas, lapan penguat kuasa JPJ dan seorang bekas anggota SPAD dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional