Siasatan kes jam tangan mewah selesai

Pada 1 April, SPRM menahan setiausaha politik kepada menteri itu kerana disyaki menerima rasuah berupa sebuah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM28,000.

KUALA LUMPUR 26 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai menjalankan siasatan melibatkan setiausaha politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkaitan sebuah jam tangan mewah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam satu kenyataan hari ini berkata, kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 10 Julai lalu.

“Berhubung siasata melibatkan setiausaha politik kepada Menteri Pertanian berkaitan sebuah jam tangan mewah, SPRM telah selesai menjalankan siasatan dan telah menghantar kertas siasatan ke Pajabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan sedang menunggu maklum balas daripada pejabat berkenaan,” kata beliau.

Pada 1 April, SPRM menahan setiausaha politik kepada menteri itu kerana disyaki menerima rasuah berupa sebuah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM28,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan pada 1 April lalu menegaskan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam siasatan SPRM terhadap setiausaha politiknya dan menyerahkannya kepada proses undang-undang. – BERNAMA

Kategori
BeritaNasional