Saring pembekal, elak ‘senjata makan tuan’ – CUEPACS

Gajet seperti kamera badan boleh diselitkan dengan cip dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berupaya menjadi alat risikan pihak tertentu, sekali gus menggagalkan keseluruhan operasi penguat kuasa.

KUALA LUMPUR: Saringan syarikat pembekal kamera badan yang akan dipasang pada anggota penguat kuasa wajar dilaksana secara teliti bagi mengelak risiko ‘senjata makan tuan’, sekali gus dikhuatiri mengundang risiko terhadap rahsia dan risikan negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, menyifatkan keputusan untuk memperkukuhkan integriti agensi penguat kuasa sebagai langkah tepat, namun kerajaan harus memperhalusi beberapa butiran dalam mekanisme pelaksanaannya.

“Gajet seperti kamera badan boleh diselitkan dengan cip dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berupaya menjadi alat risikan pihak tertentu, sekali gus menggagalkan keseluruhan operasi penguat kuasa.

“Aspek lain yang mungkin mengundang bahaya ialah semua maklumat dan butiran mengenai negara menerusi agensi penguat kuasa akan berada di tangan ‘musuh dalam selimut’ sekiranya syarikat pembekal kamera badan tidak disaring dengan teliti.

“Elemen negatif seperti ini jangan dinafikan, justeru kerajaan tidak wajar ambil ringan kerana ia bakal mempertaruhkan nyawa anggota penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini dilaporkan berkata, anggota polis, kastam dan imigresen akan dilengkapi kamera badan dalam usaha kerajaan mengekang kebocoran hasil negara di pintu masuk, namun tertakluk kepada peruntukan kewangan menerusi Belanjawan 2020 yang bakal dibentang bulan depan.

Susulan kedudukan fiskal negara, Azih mengutarakan cadangan supaya kerajaan melaksanakan projek perintis terhadap pemasangan kamera badan bagi memantau aspek keberkesanan sebelum diperluaskan, selain mengelak berlaku pembaziran dana awam.

“Kamera badan ini bagus bukan saja mampu meningkatkan integriti penguat kuasa, tetapi melonjakkan tahap keselamatan mereka dan memudahkan penyaluran bantuan menerusi pasukan sokongan sekiranya berlaku situasi kecemasan,” katanya.

Berhubung pergerakan kakitangan bagi mengimbangi keperluan agensi penguat kuasa, Azih berkata, kerajaan tidak sewajarnya sekadar membuat pertimbangan bersandarkan peruntukan belanjawan, sebaliknya meneliti operasi harian di seluruh badan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, CUEPACS dimaklumkan tiada lebihan kakitangan awam sehingga membolehkan mereka dipindah ke agensi keselamatan dan pertahanan negara kerana percaturan sedemikian bakal merencatkan operasi perkhidmatan kepada orang ramai.

“Kita rayu kerajaan meninjau dan melihat sendiri operasi di peringkat bawah kerana rakyat perlukan perkhidmatan cekap serta cepat, justeru langkah memindahkan penjawat awam ini bukan jalan terbaik,” katanya.

Kategori
BeritaNasional