Saiz penjawat awam akan dikurangkan

Saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar membebankan kerajaan

PARLIMEN 13 Mac : Saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar akan meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan sekali gus mengecilkan peruntukan perbelanjaan pembangunan negara.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya jumlah penjawat awam seramai 1.7 juta ketika ini tidak dikawal, kos perbelanjaan mengurus akan mengambil sebahagian besar belanjawan negara setiap tahun.

“Ini juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi perlahan berikutan ketidakmampuan kerajaan berbelanja untuk projek-projek pembangunan yang menjana kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin tahu rasional cadangan mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan berpendapat jumlah penjawat awam boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi penyampaian khidmat, punca pendapatan pegawai yang terlibat dan peluang pekerjaan.

“Dengan perkembangan teknologi terkini, kerajaan percaya perkhidmatan awam akan lebih produktif apabila pembaziran dihapuskan, pengagihan sumber dilaksana dengan cekap dan guna tenaga diganti dengan penggunaan teknologi maklumat serta komputer,” katanya.

Kategori
NasionalUtama