Polis pantau kegiatan agungkan pemimpin, pertubuhan pengganas – KPN

Jika benar tindakan mengagung-agungkan pertubuhan pengganas ini berlaku, ia amatlah tidak kena dengan negara kita, malah tidak sepatutnya berlaku.

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang dikesan mengagung-agungkan pertubuhan pengganas dari luar negara seperti yang viral di media sosial ketika ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata tiada kompromi dalam perkara itu, malah pihaknya juga sedia maklum mengenai isu berkenaan dan sudahpun diketengahkan di peringkat kementerian.

Beliau berkata, pihaknya percaya keputusan akan dibuat oleh kerajaan berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

“Jika benar tindakan mengagung-agungkan pertubuhan pengganas ini berlaku, ia amatlah tidak kena dengan negara kita, malah tidak sepatutnya berlaku.

“Justeru, polis akan mengambil tindakan sewajarnya. Tiada lagi amaran seperti juga perbuatan menghasut isu perkauman, keagamaan dan institusi diraja,” katanya ketika ditemui selepas melawat berek Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Kenyataan Abdul Hamid sebagai mengulas penularan video dan gambar di laman sosial berkaitan perarakan sekumpulan individu membawa sepanduk berlogo Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan gambar pengasas pertubuhan berkenaan yang dipercayai berlaku di Pulau Pinang.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima banyak laporan berhubung kes seumpama itu dan menegaskan pihaknya akan bertindak secara adil dalam menanganinya.

Kategori
BeritaNasional