Perjumpaan hanya bincang isu kewarganegaraan – Mohd. Azis

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapha Kamal Mohd. Yusoff yang ingin tahu perincian isu yang dibincangkan pada perjumpaan beberapa Ahli Parlimen berkenaan bersama Muhyiddin pada 22 Julai lepas.

KUALA LUMPUR 24 Julai – Perjumpaan Ahli Parlimen DAP bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bagi membincangkan isu kewarganegaraan dan dokumen lain yang berkaitan.

Timbalannya Datuk Mohd. Azis Jamman menjelaskan bahawa ia juga bagi membincangkan Prosedur Operasi Standard yang perlu ditambah baik dalam proses permohonan kewarganegaraan, khususnya membabitkan rakyat Malaysia yang dikategorikan ‘stateless’.

“Saya sendiri ambil maklum tentang perjumpaan itu.. itulah tujuan mereka berjumpa iaitu hanya membincangkan perkara yang boleh ditambah baik dalam memastikan mereka yang layak untuk mendapat kewarganegaraan tidak dipertikaikan hak mereka, itulah intipatinya (perjumpaan),” katanya.

Mohd. Azis berkata demikian pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapha Kamal Mohd. Yusoff yang ingin tahu perincian isu yang dibincangkan pada perjumpaan beberapa Ahli Parlimen berkenaan bersama Muhyiddin pada 22 Julai lepas.

Semalam, Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dalam catatan di laman Facebooknya telah memuatnaik beberapa fotonya bersama beberapa lagi Ahli Parlimen DAP dengan kapsyen ‘mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin bagi membincangkan beberapa isu kewarganegaraan’.

Turut bersamanya di dalam gambar berkenaan ialah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, M. Kula Segaran (Ipoh Barat), Hannah Yeoh (Segambut), Lim Guan Eng (Bagan) dan Teo Nie Ching (Kulai).- BERNAMA

Kategori
BeritaNasional