Pengendali portal perlu tapis ruangan komen

Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mempertimbang untuk menggubal undang-undang bagi menghukum pengendali portal berita dan media sosial yang membiarkan pandangan berbaur hasutan dan sensitif, di ruangan komen masing-masing.

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mempertimbang untuk menggubal undang-undang bagi menghukum pengendali portal berita dan media sosial yang membiarkan pandangan berbaur hasutan dan sensitif, di ruangan komen masing-masing.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata pihak pengendali portal dan media sosial seperti Facebook, perlu bertanggungjawab terhadap komen yang ditinggalkan pada kandungan berita yang mereka paparkan.

“Saya dalam proses mempertimbangkan sama ada untuk menggubal undang-undang bagi melihat aspek itu (pengendali portal dikenakan tindakan jika membiarkan komen sensitif).

“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam pertimbangan dan ia belum dibincangkan di dalam Kabinet.

“Sehingga perkara itu diputuskan, kita perlu memastikan apa yang dipaparkan di portal itu mempunyai nilai penyatuan serta mengukuhkan negara,” katanya ketika mengulas ucapan Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, pihaknya menerima banyak aduan yang mendakwa pengendali portal berita dan media sosial seolah-olah tidak membuat sebarang pemantauan di ruangan komen masing-masing.

“Banyak perkara dibangkitkan di ruangan komen ketika ini boleh membangkitkan perasaan marah dan sebagainya.

“Walaupun kita benarkan portal dan Facebook melaporkan berita dan sebagainya, kita perlu perhalusi ruangan komen yang menyentuh isu perkauman, agama, institusi Raja dan seumpamanya.

“Kita kena faham, apabila komen itu disiarkan di dalam portal kita, ini adalah di bawah tanggungjawab kita,” katanya.

Kategori
NasionalUtama