Pendakwaan suspek pencemaran Sungai Kim Kim tak jadi hari ini

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan akan didakwa hari ini

JOHOR BAHRU: Pendakwaan terhadap pengusaha kilang tayar kitar semula yang juga suspek utama kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang tidak dapat dilakukan hari ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri, Dr Sahruddin Jamal, ketika dihubungi sebentar tadi.

“Kertas siasatan mahkamah sudah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, tetapi pihak berkenaan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menambah beberapa lagi maklumat.

“Pendakwaan masih boleh belum dibuat sehingga mendapatkan arahan lanjut dari pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret, di sini seawal jam 7 pagi untuk membuat liputan mengenai pendakwaan berkenaan.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya, sekiranya penelitian selesai dibuat, suspek yang ditahan baru-baru ini akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat seawal hari ini.

Kategori
NasionalUtama