Pencemaran Toksik : Penduduk pindah sendiri selepas tiada jaminan keselamatan daripada kerajaan

Kebanyakan penduduk berpindah selepas berpandangan tiada jaminan keselamatan bagi keluarga masing-masing. Penduduk agak kecewa kerana belum ada pengumuman tepat dan menyeluruh berhubung kesan bencana ini

Pasir Gudang : Walapun tiada pengisytiharan darurat diumumkan di Pasir Gudang, hampir 30 peratus penduduk Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim mengambil keputusan untuk berpindah ke lokasi lain untuk sementara waktu.

Pengerusi Penaja Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA), Muhammad Fauzi Rohani berkata, pemindahan penduduk berlaku sejak kelmarin dan mula ketara pada pagi hari semalam.

Menurutnya, kebanyakan penduduk berpindah selepas berpendapat keselamatan mereka tidak lagi terjamin akibat kejadian itu.

Penduduk, Izurin Muhammad Amin berkata, anak dan isterinya berpindah ke Iskandar Puteri sementara menunggu krisis berakhir.

“Kami mengambil tindakan sendiri iaitu berpindah secara sukarela biarpun kerajaan negeri menyatakan keadaan selamat.

“Ini kerana, kami yang tinggal di sini merasakan keadaan semakin buruk.

“Perlukah kami menunggu sehingga nasi menjadi bubur? Apabila difikirkan apa yang terbaik, kami mengambil keputusan berpindah bagi mengelak risiko kehilangan nyawa dan sebagainya,”  – Izurin Muhammad Amin

Mahirah Ahmad Helmi, 32, yang tinggal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pula berkata, dia terpaksa membawa dua anaknya berusia tiga tahun dan lima bulan menumpang di rumah bapa mentua di Kempas sehingga keadaan pulih.

Pekerja sendiri, Abdul Rahim Abdul Rahman, 47, memutuskan membawa tiga anaknya tinggal sementara di sebuah hotel kerana memikirkan keselamatan mereka di Pasir Gudang.

Katanya, dia sentiasa meletakkan keselamatan dan kesihatan anak-anak sebagai keutamaan walaupun kerajaan tidak mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

“Kami tinggal di hotel sejak malam tadi kerana tidak perlu untuk terus berada di rumah di Taman Bukit Dahlia. Terdapat banyak maklumat mengelirukan mengenai insiden ini,” kata Abdul Rahim Abdul Rahman.

Abdul Rahim berkata, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko membabitkan anak-anaknya kerana sekolah juga sudah ditutup sejak semalam.

Katanya, jika keadaan berpanjangan, dia akan pulang ke rumah keluarganya di Batu Pahat.

“Jika semua meninggalkan rumah, siapa mahu menjaga harta benda kami kecuali pengumuman darurat bencana diumumkan.

“Penduduk agak kecewa kerana belum ada pengumuman tepat dan menyeluruh berhubung kesan bencana ini,” kata Muhammad Fauzi.

Kategori
NasionalUtama