Mayat perempuan ditemui dalam kawasan pencarian Nora Anne

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata mayat itu ditemui kira-kira dua kilometer dari resort penginapan remaja berkenaan di Pantai, dekat sini.

SEREMBAN: Polis menemui satu mayat perempuan di sekitar kawasan pencarian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, petang ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata mayat itu ditemui kira-kira dua kilometer dari resort penginapan remaja berkenaan di Pantai, dekat sini.

Bagaimanapun, identiti mayat itu masih belum didedahkan pihak polis.

Polis turut menutup laluan ke resort itu dengan memasang garisan kuning sejak jam 2.30 petang tadi bagi menghalang orang luar termasuk media memasuki kawasan berkenaan.

Anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta keluarga mangsa dilihat memasuki kawasan itu sebentar tadi.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di resort The Dusun, di Pantai pada 4 Ogos lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR di kawasan berkenaan.

Kategori
BeritaNasional