Katanya, objektif penubuhan Tabung Haji yang telah berusia 56 tahun itu tidak pernah berubah di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) malah terus diperkukuhkan dalam menjaga dan membantu para jemaah.

“Berbekalkan tujuan dan matlamat Tabung Haji inilah institut ini terus berkembang dengan sokongan dan dokongan kerajaan serta rakyat khususnya umat Islam yang menjadi pendeposit Tabung Haji.

“Sejak mula, kita menumpukan kebajikan bermula dari negara ini terus ke Mekah, Madinah, Arafah, Muzdalifah, Mina, Mekah sehingga kembali ke Malaysia, semua kebajikan para jemaah menjadi keutamaan selain dikenakan bayaran paling murah iaitu RM9,980 sahaja dengan selebihnya disubsidikan.

“Konsep subsidi ini boleh dijelmakan dengan jalinan kerajaan melalui peluang penjanaan kewangan, ekonomi yang diwujudkan kerajaan kepada Tabung Haji,” katanya di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dilaporkan berkata, langkah itu juga dalam usaha mengurangkan bantuan daripada Tabung Haji.

Katanya, kemampuan adalah sebahagian syarat melakukan haji dari aspek kewangan.

Sementara itu, kata Jamil yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, sememangnya menjadi hasrat rakyat ingin melihat Tabung Haji terus dipertahankan dan dijaga seperti dulu.