Matlamat kongres bentuk kerajaan pintu belakang – Khalid

Bagaimanapun, kenyataannya itu dikritik hebat oleh netizen.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Amanah Negara, Khalid Abd. Samad mendakwa matlamat utama Kongres Maruah Melayu untuk membentuk kerajaan baharu.

Ia ekoran kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini yang menolak cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menyertai UMNO dan Pas.

“Maka dengan itu, terdedahlah dengan sejelas-jelasnya matlamat sebenar Kongres Maruah Melayu. Ianya bukan untuk memulihkan maruah Melayu, yang sekian lama tercemar oleh geng perasuah dan pencuri, tetapi untuk membentuk kerajaan baharu melalui pintu belakang secara tidak bermaruah!” ciapnya di Twitter hari ini.

Bagaimanapun, kenyataannya itu dikritik hebat oleh netizen.

Sebelum itu, Mohamad mencadangkan sekiranya benar Mahathir mahu melihat bangsa Melayu bersatu, PPBM kena menyertai barisan pembangkang.

Apapun, kritikan Khalid itu ditujukan kepada UMNO dan Pas namun perlu disedari kongres berkenaan sebenarnya dianjurkan mereka yang rapat dengan kepimpinan PPBM.

Malah Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga menghadirinya.- MalaysiaGazette

Kategori
BeritaNasional