Malaysia bukan dan tidak pernah jadi Harimau Asia, kata ahli ekonomi

Malaysia tidak pernah jadi Harimau Asia seperti yang diperkatakan Kerajaan sendiri

SHAH ALAM: Seorang ahli ekonomi mempersoalkan penggunaan gelaran “Harimau Asia” bagi menggambarkan kedudukan ekonomi negara dengan berkata, Malaysia hanya layak digelar “harimau kecil” atau “naga kecil”.

Bercakap kepada satu forum bersempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di UiTM, Shah Alam, Madeline Berma berkata, 4 Harimau Asia sebenar ialah Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong.

Beliau berkata, Malaysia hanya berada di barisan kedua kuasa ekonomi Asia, sekali gus menyuarakan kebimbangannya bahawa “harimau kecil” itu mempunyai gigi yang “tidak tumbuh-tumbuh”.

Beliau berkata, sewaktu Malaysia mula-mula diiktiraf sebagai ekonomi “harimau kecil”, wujud rasa teruja kerana negara diangkat ke platform antarabangsa.

Wujud juga optimisme bahawa ekonomi negara akan berkembang menjadi salah satu negara Harimau Asia.

Bagaimanapun krisis ekonomi 1997 membantutkan kemajuan itu katanya, dan seterusnya mengingatkan bahawa sejarah boleh berulang semula sekiranya kerajaan tidak berhati-hati.

Berma juga bercakap tentang ketidaksetaraan yang wujud di negara ini dan berkata, ia boleh diatasi dengan “memberikan hak kepada orang lain”.

“Penduduk di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan. Mereka perlu diberikan bantuan dan sokongan tambahan,” katanya, dengan menambah bahawa dalam kes ini, persamaan bukanlah matlamatnya.

 

Kategori
NasionalUtama