Lelaki tembak monyet akhirnya diberkas, pistol turut dirampas

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki iaitu anak beranak selain merampas pistol yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan."

POLIS menahan dua beranak di sebuah rumah di Taman Kenangan, Sitiawan Perak, malam tadi berhubung kes tembak monyet yang tular dan menimbulkan kemarahan ramai di media sosial baru-baru ini.

Sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung membuat serbuan di rumah berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman Datuk Asmawati Ahmad ketika mengesahkan penahanan itu berkata, pistol yang dipercayai digunakan suspek turut dirampas.

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki iaitu anak beranak selain merampas pistol yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan.

“Kedua-dua tangkapan terbabit dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Asmawati memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berhubungan rakaman video yang tular di media sosial memaparkan tindakan kejam seorang lelaki tempatan menembak kepala monyet menggunakan pistol.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi 20 saat itu tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan seorang lelaki meminta haiwan yang dikurung di dalam sangkar itu untuk menyebut perkataan ‘baby sayang’ sambil mengacu pistol.

Melihat monyet berkenaan tidak memberi sebarang reaksi, lelaki tersebut kemudian melepaskan satu das tembakan di kepala yang mengenai kepala haiwan itu selepas kiraan tiga.

Kejadian menyebabkan monyet berkenaan terkulai layu dengan berlumuran darah.

Rakaman itu menimbulkan kemarahan para warganet yang menyifatkan perbuatan itu sebagai kejam, jijik dan tidak bertamadun.

Satu kempen untuk memburu suspek telah diatur termasuk dengan kerjasana NGO, malah ada yang menawarkan bayaran saguhati sehingga tertangkapnya lelaki dalam video berkenaan.

 

Kategori
NasionalUtama