Larangan ceramah Zakir Naik diperluas seluruh negara

Satu pekeliling dalaman polis yang dilihat FMT berkata kehadiran Zakir boleh memberi ancaman kepada keamanan.

PETALING JAYA: Larangan ceramah oleh polis Perlis terhadap Dr Zakir Naik akan diperluaskan ke seluruh negara, kerana pihak berkuasa mahu mengimbangi antara kemarahan yang semakin meningkat dalam kalangan kumpulan bukan Islam dan simpati yang kuat dalam kalangan umat Islam terhadap penceramah kontroversi itu.

FMT difahamkan beberapa acara melibatkan Zakir di Lembah Klang dibatalkan dengan polis menasihati penganjur membatalkan sebarang undangan terhadap Zakir.

Satu pekeliling dalaman polis yang dilihat FMT berkata kehadiran Zakir boleh memberi ancaman kepada keamanan.

“Penganjur acara dinasihatkan membatalkan program yang sepatutnya menampilkannya,” kata sumber kepada FMT.

Selain Perlis di mana Zakir mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa agama, Sarawak, Sabah, Kedah, Melaka, Pulau Pinang dan Selangor menyatakan Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah di negeri terbabit.

Beliau kini menjadi subjek siasatan polis berdasarkan lebih 100 laporan yang difailkan terhadapnya. Malam tadi, beliau menghabiskan masa kira-kira 10 jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan kali kedua berhubung beberapa kenyataan yang mencetuskan kritikan daripada ahli politik dan kumpulan bukan Islam.

Beliau disoal siasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam rentetan ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau dilaporkan mendakwa masyarakat India Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi dan menggambarkan masyarakat Cina Malaysia sebagai “tetamu lama” yang harus kembali ke tanah kelahiran mereka sebelum beliau meninggalkan negara ini.

Zakir bagaimanapun berkata ucapannya dipetik di luar konteks oleh media, dan memfailkan saman fitnah terhadap beberapa ahli politik.

Awal hari ini, beliau memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul berhubung kenyataannya tetapi menggesa orang ramai mendengar ucapannya secara keseluruhan.

“Ia bukan niat saya untuk mengecewakan mana-mana individu atau komuniti. Ia bertentangan dengan prinsip asas Islam, dan saya ingin memohon maaf atas salah faham ini,” katanya.

Kategori
BeritaNasional