Laporan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA dijangka siap enam bulan lagi

“Sebuah Jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai wakil daripada kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta juga wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan, bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa selama enam bulan,”

KUALA TERENGGANU, 11 Sept — Laporan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Putrajaya, hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi menggerakkan penggabungan itu dengan disertai pelbagai pihak.

“Kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

“Sebuah Jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai wakil daripada kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta juga wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan, bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa selama enam bulan,” kata kenyataan itu.

Jemaah menteri pada 4 Sept lepas, secara prinsipnya bersetuju dengan penggabungan UMT dan UniSZA yang dilihat akan memantapkan keupayaan kedua-dua universiti selaras dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 Pendidikan Tinggi (PT).

Malah inisiatif itu juga dijangka memacu pembangunan industri di Terengganu di samping menangani persaingan sesama universiti bagi mendapatkan pelajar, kakitangan serta sumber.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah penggabungan antara dua universiti itu juga bukanlah suatu perkara baharu, kerana ia turut berlaku di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia bagi meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan serta daya saing sesebuah institusi baharu.

Ia juga dilihat satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkat kualiti perkhidmatan serta memberi nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

“Langkah ini telah dilaksanakan oleh universiti dan kolej di beberapa buah negara, antaranya University of Manchester dan University of Manchester Institute of Science & Technology (UMIST) di United Kingdom,” katanya.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional