Khazanah akan jual keseluruhan kepentingan dalam lebuh raya bertol di Indonesia

Sepanjang 117km, lebuhraya bertol Cipali adalah lebuhraya bertol terpanjang yang beroperasi di Indonesia dan merupakan hubungan penting dalam rangkaian pengangkutan di Pulau Jawa, dan sebahagian daripada rangkaian Lebuhraya Bertol Trans Jawa

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Khazanah Nasional Bhd akan menjual keseluruhan kepentingannya dalam lebuhraya bertol Cikopo-Palimanan (Cipali), satu daripada lebuhraya bertol terpanjang di Indonesia kepada Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB).

CPPIB dan rakan kongsinya, PT Baskhara Utama Sedaya (BUS) akan bersama-sama mengambil alih 55 peratus kepentingan dalam PT Lintas Marga Sedaya (LMS), ketika ini dipegang oleh PLUS Expressways International Bhd — anak syarikat UEM Group, yang kesudahannya menjadi milik penuh Khazanah Nasional Bhd, menurut dana pencen Kanada itu.

LMS ialah pemegang konsesi dan pengendali lebuhraya bertol Cipali.

Dalam kenyataannya, CPPIB berkata transaksi dijangka selesai pada suku keempat 2019, tertakluk kepada syarat penutupan biasa, termasuk kelulusan pengawalseliaan.

Sepanjang 117km, lebuhraya bertol Cipali adalah lebuhraya bertol terpanjang yang beroperasi di Indonesia dan merupakan hubungan penting dalam rangkaian pengangkutan di Pulau Jawa, dan sebahagian daripada rangkaian Lebuhraya Bertol Trans Jawa. – BERNAMA

Kategori
BeritaNasional