Kerajaan permudahkan urusan, tiada ‘u-turn’

Asalkan sudah dapat lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) atau lulus ujian, pemandu boleh terus memandu

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan ‘u-turn’ dalam melaksanakan penguatkuasaan bagi perkhidmatan e-hailing mulai 12 Oktober ini, iaitu sebaik tempoh melengkapkan syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi pemandu e-hailing berakhir.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya bagaimanapun mengambil maklum rungutan operator dan pemandu e-hailing berkaitan proses melengkapkan syarat ditetapkan, dan sudah melaksanakan langkah untuk memudahkan proses berkenaan.

Beliau berkata, walaupun penguatkuasaan bermula 12 Oktober ini, ia bukan bermaksud pihak berkuasa akan terus memeriksa semua kenderaan dan pemandu, sebaliknya ia dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi perkhidmatan itu tidak terjejas.

“Asalkan sudah dapat lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) atau lulus ujian, pemandu boleh terus memandu. Setakat ini 69,053 calon sudah lulus ujian PSV, mereka boleh terus memandu walaupun belum dapat kad PSV, tiada masalah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Loke menjelaskan, pemilik dan pemandu kenderaan e-hailing tidak perlu hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendaftar status kenderaan kerana ia dilaksanakan melalui saluran maklumat Permit Kenderaan e-hailing (eVP) oleh agensi berkaitan.

Katanya, JPJ mewujudkan satu kod khas baharu bagi kenderaan persendirian e-hailing dengan mengguna pakai ringkasan kod ‘AH’ dalam sistem mySIKAP, yang mana semua kenderaan digunakan bagi perkhidmatan itu dikategorikan sebagai kenderaan persendirian e-hailing.

“Maklumat itu akan ditukar kod kegunaan secara automatik kepada kod AH dalam mySlKAP oleh JPJ dan ini hanya untuk tujuan pentadbiran, ia tidak tertera pada geran atau mana-mana dokumen. Jadi, tiada masalah kalau mahu jual kenderaan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata, pemandu dan operator e-hailing juga tidak diwajibkan mencetak maklumat eVP seperti dibangkitkan mereka sebelum ini dengan alasan menyusahkan urusan di JPJ.

“Nombor eVP sudah ada dalam sistem mySikap, tujuan kita minta cetak sebelum ini adalah untuk memudahkan ketika pemeriksaan oleh pihak berkuasa, tetapi ia tidak diwajibkan,” katanya.

Mengenai pemeriksaan kesihatan sebagai syarat permohonan PSV, Loke berkata bermula 1 Oktober lalu, borang JPJL8A yang baharu hendaklah digunakan sebagai dokumen rasmi bagi syarat dalam prosedur permohonan atau pembaharuan Lesen Vokasional.

“Pada borang lama, ada tertera RM80 caj maksimum, itu sebenarnya kadar siling, namun kita dapati klinik kesihatan ambil peluang caj maksimum RM80 sedangkan sebelum ini ada klinik cuma kenakan RM40, menyebabkan ada pihak salahkan JPJ walhal ia ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Berikutan itu, kita keluarkan perkataan RM80 pada borang baharu untuk mengelak orang ramai menyalahkan JPJ dan elak disalah guna oleh pihak klinik untuk kenakan bayaran maksimum,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta orang ramai termasuk media untuk melaporkan kepada pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada maklumat berhubung kewujudan sindiket menjual PSV kepada pemandu.

Kategori
Nasional