Kerajaan akan naikkan tarif air. Rakyat diingat jangan berkira

“Kita akan menaikkan tarif dalam berapa sen saja untuk rakyat.“

SEREMBAN: Kerajaan menjangkakan kenaikan tarif air di seluruh negara secara berperingkat tahun ini, susulan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negara pada kadar yang tidak membebankan pengguna.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata kadar kenaikan tarif air yang dicadangkan itu masih berada pada paras rendah dan mampu ditanggung pengguna.

Malah, katanya, kadar tarif baharu yang akan dibayar pengguna itu akan dapat membantu syarikat bekalan air menanggung sebahagian daripada kos operasi dan perbelanjaan modal (capex), sekali gus membolehkan perkhidmatan bekalan air terawat terjamin.

“Kita akan menaikkan tarif dalam berapa sen saja untuk rakyat. Kalau kita bandingkan kadar yang dibayar penduduk negara jiran, sudah 20 tahun tarif tidak dinaikkan.

“Kita perlu bayar untuk utiliti. Ini tanggungjawab rakyat memastikan ia (perkhidmatan bekalan air) sempurna,” katanya.

Januari lalu, Xavier berkata kadar tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air negara.

Kenaikan tarif itu perlu dilaksanakan bagi menjamin kepentingan pengguna mendapatkan air berkualiti serta menjamin kelangsungan industri berkenaan.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, beliau berharap perbincangan mengenai tarif air ini bersama kerajaan negeri akan menemui kata putus menjelang akhir tahun ini.

Katanya, isu kenaikan tarif air ini memerlukan persetujuan bersama di antara Pusat dan kerajaan negeri kerana ia bukan saja menyentuh aspek pengguna, malah kemampuan syarikat air membekalkan air berkualiti kepada pengguna.

Kategori
NasionalUtama