Kemudahan perubatan Tabung Haji kelas pertama – jemaah haji

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

MAKKAH, 1 Ogos (Bernama) — Rata-rata jemaah haji Malaysia yang ditemui Bernama di sini menyifatkan kemudahan perubatan disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia adalah kelas pertama dan memberi beberapa cadangan menarik untuk menambah baik.

Seorang petugas sektor swasta Khushairi Ismail, 54, berkata dengan kemudahan perubatan lengkap disediakan itu, jemaah haji di sini tidak berasa risau kerana merasakan kemudahan perubatan sentiasa disediakan untuk mereka seperti di tanah air.

“Ini negara orang, saya tidak boleh bayangkan bagaimana sukar hendak bawa semua alat perubatan, ubat dan juga petugas perubatan termasuk doktor dan jururawat datang ke sini, kemudian sediakan semua itu daripada kosong kepada sedia terima pesakit,” katanya kepada Bernama.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

TH mempunyai satu pusat rawatan utama di sini iaitu Pusat Rawatan TH Syisyah yang mempunyai 197 katil, sebuah klinik kecemasan di Abraj Janadriyah mempunyai 33 katil dan Pusat Rawatan TH Al Jaffery di Madinah mempunyai 37 katil, selain klinik kesihatan di setiap maktab penginapan jemaah.

Sharif Sarimin, 47, seorang lagi pekerja swasta berkata kemudahan ubat-ubatan di sini dilihat agak lengkap seperti klinik dan hospital di tanah air.

“Amat menarik saya lihat sebuah bangunan yang kebanyakannya… hotel dijadikan klinik atau pusat rawatan, jemaah yang datang rasa selesa, tidak perlu bimbang datang sini, ubat semua ada,” katanya.

Sementara itu, Khushairi dan Sharif juga sependapat mencadangkan pihak TH menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak dan syarikat di sini bagi menyediakan kemudahan kesihatan alternatif seperti urutan dan akupuntur untuk jemaah haji.

Khushairi turut menyarankan agar kemudahan kesihatan alternatif itu sekiranya ditawarkan, dikenakan bayaran berpatutan kepada jemaah agar tidak membebankan pihak TH.

“Bagi saya ramai jemaah haji yang mahukan perkhidmatan ini dan sanggup membayar dengan harga berpatutan. Sakit kaki, pinggang dan otot selalu dialami jemaah di sini jadi saya lihat ia lebih kepada membantu jemaah,” katanya.

Sharif berkata keperluan logistik untuk menyediakan sebuah pusat kemudahan kesihatan alternatif itu sememangnya amat sukar, namun beliau mencadangkan untuk menyediakan kemudahan ringkas seperti barisan kerusi urut di lobi maktab penginapan dan mesin layan diri kesihatan lain.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional