Kemelut Kerajaan PH Selangor ganggu kemajuan agama Islam – pembangkang

"Apa yang mengecewakan saya, usul yang sepatutnya dibawa berkaitan pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam tidak dapat diusulkan.

Pemimpin pembangkang di Selangor kecewa dengan sikap Pakatan Harapan (PH) negeri itu yang dilihat bertelagah sesama sendiri sehingga mengenepikan perkara yang membabitkan kepentingan umat Islam.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail (gambar atas), berkata amat mengecewakan apabila usul berkait pindaan undang-undang Islam ditolak hanya kerana politik dalaman PH Selangor.

“Apa yang mengecewakan saya, usul yang sepatutnya dibawa berkaitan pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam tidak dapat diusulkan.

“Persoalannya sekarang adalah bagaimana usul yang dibawa ini tidak mendapat persetujuan dari tuan speaker? Adakah berlaku pergolakan sesama Yang Berhormat (YB) kerajaan negeri Selangor sekarang ini?

“Saya mohon supaya selepas ini jika ada usul yang membabitkan pindaan untuk memartabatkan agama Islam haruslah disokong baik di pihak kerajaan dan juga pembangkang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rizam berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi membabitkan kepentingan Islam.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan berkenaan kemelut politik di Selangor berhubung cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Isu itu dilihat menjadikan kedudukan Amirudin Shari sebagai menteri besar semakin terancam, selepas sebelum ini turut mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pemimpin PKR ekoran kenyataannya berkenaan video skandal seks.

Cadangan pindaan itu menuju jalan buntu apabila Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu.

Sidang DUN pada asalnya dijadual berlangsung daripada 29 Julai hingga 9 Ogos.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Ng enggan menandatangani dokumen yang akan membenarkan rang undang-undang (RUU) pindaan enakmen itu diberi keutamaan, justeru menghentikan pembentangan pindaan tersebut.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada “ibu atau bapa”.

Versi Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir menyelar perkara itu yang disifatkannya sebagai menghalang kemajuan agama.

Katanya, krisis itu tidak sepatutnya berlaku dan pihak kerajaan negeri sewajarnya menyelesaikan isu berkenaan terlebih dulu sebelum membawanya ke sidang DUN.

“Jangan jadikan krisis politik penghalang kepada kemajuan agama.

“Sepatutnya perkara ini diselesaikan dengan baik dan diberi keutamaan,” katanya.

Diminta mengulas tindakan speaker DUN memendekkan tempoh persidangan, Roslan berkata: “Kita tidak pasti apa rasional speaker, kalau motif beliau mahu menghalang pembentangan pindaan enakmen itu, memang telah derhaka kepada raja.

“Bukan itu saja, (tapi juga kepada) majoriti rakyat Selangor adalah orang Melayu beragama Islam,” katanya lagi. – Malaysiakini

Kategori
NasionalPolitikUtama